fbpx

Pandu Uji : Nissan X-Trail dengan pakej Impul

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Oleh AFIFI HAFIZ MOHD NOR

SEKALI pandang nampak sama tetapi dua kali pandang memang berbeza. Kenderaan yang penulis pandu uji kali ini ialah Nissan X-trail dengan pakej Impul.

Pakej Impul ialah aksesori tambahan untuk pemilik Nissan yang inginkan kelainan. Pakej ini juga turut ditawarkan pada beberapa model lain.

Baru-baru ini penulis telah diberi peluang oleh Edaran Tan Chong Motor (ETCM) untuk memandu uji Nissan X-Trail dengan pakej Impul.

ETCM telah memasang pakej Impul itu pada model X-Trail dengan varian 2.0 Hybrid untuk model pandu uji kali ini.

Apa yang menarik, pakej ini bukan sahaja hadir dengan kit badan semata-mata seperti kebanyakan jenama lain.

Pakej itu bermula dengan kit badan lengkap seperti kit bampar hadapan,bampar belakang, skirting sisi, kemasasan gril hadapan warna hitam berkilat dan spoiler belakang warna hitam berkilat yang berbeza dengan varian standard lain.

Selain itu, pakej impul untuk X-trail turut hadir dengan spring sport Impul berwarna biru yang ditala untuk pengalaman pemanduan responsif.

Manakala bahagian roda pula menggunakan rim Impul Aura SX-50 bersaiz 18 inci lengkap dengan tayar Continental ContiMaxContact MC6 mampu memberikan kualiti cengkaman luar biasa.

Ruang kabin, juga dipertingkatkan menerusi penggunaan kemasan kulit Nappa berwarna Maroon pada tempat duduk, papan pemuka, perlindungan lutut dan perehat tangan.

Beberapa bahagian panel papan pemuka dan panel pintu kemasan karbon fiber.

Pandu uji

Sebaik penulis mengambil SUV itu di Ibu Pejabat ETCM, 10 minit pertama penulis tersenyum sendirian sebab ‘feel pertama’ rasa berbeza dengan X-Trail tanpa pakej yang pernah dipandu uji ketika tahun lalu.

Perbezaan itu disebabkan spring sport Impul yang penulis cerita tadi. Dapatlah rasa sporty walau hakikatnya memandu sebuah SUV.

Selain rasa sporty, spring Impul itu memberikan lebih keyakinan ketika melalui jalan-jalan yang berselekoh, tambahan pula penggunaan tayar berkualiti dan rim lebih besar, ia berfungsi dengan baik!

Dari segi penampilan, X-Trail dengan pakej Impul memang berjaya untuk mencuri tumpuan kerana sepanjang beberapa hari menggunakan SUV itu beberapa kali penulis disapa orang ramai yang bertanya berkenaan tahap ketinggian, kit badan dan ruang dalaman warna merah.

Penulis difahamkan, pakej talaan Impul itu ditawarkan pada harga RM11,000 serta boleh didapati dalam empat varian X-Trail seperti 2.0L 2WD (RM139,630), 2.0L 2WD MID (RM150,643), 2.5L 4WD (RM157,731) dan 2.0L Hybrid (RM168,451).

Harga untuk Semenanjung Malaysia selepas pengecualian cukai, tidak termasuk insurans.

Nissan X-Trail talaan Impul dipasang di kilang dan hadir bersama jaminan standard selama lima tahun tanpa had perbatuan.

Sementara itu, jaminan untuk aksesori pula, selama tiga tahun atau perbatuan sejauh 100,000 kilometer (mana-mana tiba dahulu).

Berita baik kepada pemilik X-Trail sedia ada, pakej ini juga ditawarkan untuk anda.

Barangan pilihan yang ditawarkan kit badan Impul lengkap termasuk untuk depan, sisi dan belakang ditawarkan pada harga RM5,600.

Rim Impul Aura SX-50 bersaiz 18 inci (RM5,800), tayar Continental ContiMaxContact MC6 bersaiz 235/55/18 (RM2,800), spring sport Impul (RM1,100), spoiler belakang Impul warna hitam berkilat (RM800) dan kemasan gril hadapan berwarna hitam berkilat (RM700).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI