fbpx

Wanita trauma tikus ‘santai’ atas talam makanan medan selera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tikus tersebut jatuh di atas talam makanan dan hanya menggerakkan kakinya. - Xiaohongshu/Loric

SINGAPURA – Seorang wanita yang sedang bersiap sedia untuk menjamu selera terkejut apabila seekor tikus jatuh ke atas talam makanannya dari siling sebuah medan selera di Orchard Road, Singapura, lapor portal berita Coconuts kelmarin.

Wanita yang sedang hamil 16 minggu itu ketika kejadian mahu menikmati makan tengah hari bersama keluarganya di Tangs Market.

Ketika duduk, seekor tikus secara tiba-tiba jatuh dari siling lalu mendarat di atas talam makanannya, menyebabkan baju wanita tersebut terkena percikan kuah.

Video insiden itu dikongsikan di platform media sosial dan menjadi tular.

Ia memaparkan situasi seekor tikus bersaiz besar terbaring di atas talam makanan sambil kakinya bergerak-gerak.

Haiwan itu bagaimanapun tidak bergerak dari kedudukannya.

Ibu wanita berkenaan memberitahu saluran berita Channel News Asia bahawa anaknya menjadi trauma akibat insiden itu dan bimbang akan keadaan bayi yang dikandungnya.

Susulan kejadian itu, pihak pengurusan Tangs menawarkan hamper dan kad hadiah bernilai SG$200 (RM698) sebagai tanda permohonan maaf.

Ia bagaimanapun ditolak oleh ibu wanita berkenaan yang menyifatkan tindakan itu sebagai tidak adil dan satu penghinaan kepada mereka.

Mereka sebaliknya meminta pihak medan selera bertanggungjawab atas semua perkara berkaitan insiden tersebut seperti caj parkir dan cuti tahunan mangsa.

Medan selera tersebut ditutup Khamis lalu bagi menjalankan kerja-kerja pembersihan selain pihak pengurusannya mengaku sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk menyiasat kejadian itu. – AGENSI 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI