PETALING JAYA – Pengetahuan dan pemahaman kesihatan mental yang rendah dalam masyarakat boleh menyebabkan individu yang mempunyai masalah dan penyakit mental tidak mendapatkan rawatan dan intervensi yang sewajarnya.
Kementerian Kesihatan (KKM) melalui satu kenyataan berkata, penjaga atau ahli keluarga bagi individu yang mempunyai masalah kesihatan mental perlu diberikan pengetahuan tentang penjagaan kesihatan mental serta memahami keperluan untuk mendapatkan rawatan awal bagi mencegah komplikasi dan tahap penyakit yang lebih serius.
Tambahnya, stigma dan diskriminasi terhadap pesakit mental masih merupakan cabaran utama yang perlu ditangani ke arah usaha menuju kesaksamaan dalam mendapatkan perkhidmatan kesihatan mental.
“Stigma dan salah faham dalam kalangan masyarakat menyebabkan individu yang mengalami penyakit mental lewat mendapatkan bantuan profesional yang mereka perlukan, bukan sahaja stigma ini dialami oleh pesakit mental itu sendiri, malah ahli keluarga dan penjaga juga turut menghadapi diskriminasi dari segi hak mendapatkan rawatan yang sewajarnya.
“Disebabkan stigma masyarakat yang menganggap individu dengan penyakit mental ini tidak boleh diubati, menyebabkan jurang yang meluas bagi pesakit mental untuk mendapatkan rawatan yang sewajarnya sedangkan pesakit mental boleh dirawat di klinik atau hospital berhampiran dan menjalani kehidupan seharian seperti manusia biasa,” jelas kenyataan tersebut.
Tambahnya, jangan sesekali hentikan rawatan tanpa nasihat doktor atau pakar psikiatri, ahli keluarga dan masyarakat memainkan peranan penting dalam proses pemulihan pesakit mental.
“Jika ada dalam kalangan ahli keluarga atau kenalan anda yang ingin memerlukan bantuan, sila hubungi talian HEAL 15555 atau dapatkan bantuan professional,” kata kenyataan tersebut lagi. – KOSMO! ONLINE