PUTRAJAYA – Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing hari ini menempelak Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Noor kerana menghina imej badannya.
King Sing berkata, beliau malah menyifatkan penghinaan oleh Menteri Besar Kedah itu sebagai cara untuk mengalihkan fokus rakyat.
Ahli Parlimen Bintulu itu berkata, jika Muhammad Sanusi mahu menarik pelancong ke negeri berkenaan, beliau sepatutnya tidak bersifat mulut celopar.
“Saya tidak tahu apakah masalah sebenarnya, tetapi mungkin dia mahu tarik perhatian masyarakat dengan menghina bentuk tubuh badan saya pula.
“Paling mustahak, kenalah jaga mulut sebab kalau mulut sendiri pun tidak dijaga, buatlah apa-apa pun untuk minta ramai pelancong luar datang Kedah, tetap tiada guna,” katanya ketika sidang akhbar selepas mesyuarat bersama kerajaan Melaka bagi penganjuran program mega World Tourism Day (WTD) dan World Tourism Conference (WTC) 2025 di sini, hari ini.
Minggu lalu, Muhammad Sanusi ketika berbahas pada sidang Dewan Undangan Negeri di Kedah mengejek fizikal King Sing seperti dewa perut boroi bagi penganut bukan Muslim.
Pengerusi Perikatan Nasional Kedah itu membuat ayat penghinaan tersebut disebabkan berang menteri berkenaan konon tidak mempromosikan pelancongan di negeri itu.
Ia ekoran pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatannya dari Thailand, Srettha Thavisin pada 27 November lalu bagi memajukan lokasi sempadan. – KOSMO! ONLINE