JAKARTA – Seorang wanita berusia 53 tahun menjadi tumpuan netizen di Indonesia kerana memiliki wajah awet muda persis anak gadis berumur belasan tahun, lapor laman berita Suara.com.
Beberapa gambar wanita berstatus nenek yang dikenali sebagai Puspa Dewi itu menjadi tular selepas dimuat oleh seorang pengguna di laman Twitter.
Antaranya gambar menunjukkan perbezaan wajah Puspa bersama suaminya yang dirakam pada 1993 dengan foto terkini mereka pada tahun 2020.
“Ini manusia atau pontianak?” tulis keterangan pada gambar tersebut.
Ia berikutan wajah Puspa kelihatan jauh lebih muda berbanding pada tahun 1993 walhal usianya kini melepasi separuh abad. Malah, sebilangan netizen sukar mempercayai kecantikan wanita itu tidak dimamah usia.
Puspa yang memiliki seorang cucu adalah selebriti media sosial di Indonesia. Dia mempunyai hampir setengah juta pengikut di laman Instagram dan kerap memuat naik gambarnya melakukan pelbagai aktiviti.
Salah satu hantaran di laman sosial tersebut, menunjukkan dua gambar Puspa sedang bersenam ketika berusia 35 tahun dan 53 tahun.
Menurut ibu kepada dua orang anak itu, dia gemar melakukan aktiviti senaman sejak berada di zaman persekolahan lagi.
“Sejak dari dulu semangat untuk bersenam tetap sama dan tidak pernah luntur,” katanya. – Agensi