PETALING JAYA – Peguam syarie yang mewakili suami kepada penyanyi Adira Suhaimi, Datuk Seri Adnan Abu atau Datuk Red iaitu Muhammad Akmal Amzan mengesahkan punca wanita itu memfailkan perceraian terhadap suaminya adalah kerana tiada lagi persefahaman antara mereka.
Bagaimanapun, Akmal ketika dihubungi Kosmo! Online berkata, anak guamnya tidak bersetuju dengan permohonan yang dibuat oleh Adira dan masih lagi mahu mempertahankan rumah tangga yang dibina bersama penyanyi tersebut.
“Saya tidak boleh mengulas panjang tentang perkara ini. Namun apa yang boleh saya kongsikan, punca Adira memfailkan perceraian adalah kerana tiada lagi persefahaman.
“Namun, anak guam saya (Datuk Red) tidak bersetuju dengan permohonan yang dibuat oleh isterinya kerana ingin menyelamatkan rumah tangga mereka,” ujar Akmal ketika dihubungi sebentar tadi.
Mengulas lanjut tentang sebutan kes yang berlangsung pagi tadi di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat, Rawang, Selangor, Akmal berkata, proses tersebut adalah bagi melantik wakil proses Jawatankuasa Pendamai (JKP) yang diperintahkan sebelum ini.
Bagaimanapun, Datuk Red selaku defendan kes berkenaan gagal membawa wakil disebabkan calon berkenaan mempunyai urusan yang tidak dapat dielakkan.
“Wakil sudah ada, cuma kami baru dimaklumkan pagi tadi dia tidak dapat hadir sebab ada urusan yang tidak dapat dielakkan,” katanya.
Sehubungan itu, Hakim Syarie Abdul Hadi Omar menangguhkan sebutan kes tersebut pada 18 Disember ini.
Terdahulu, kecoh apabila Adira atau nama lengkapnya Siti Adira Suhaimi, 32, muncul di Mahkamah Syariah Gombak Barat, Rawang, pagi tadi.
Kehadiran ibu kepada empat cahaya mata itu ditemani kakaknya Emma, selaku wakil bagi sesi Jawatankuasa Pendamai (JKP) susulan permohonan perceraian terhadap suaminya, Datuk Seri Adnan Abu pada 25 Oktober lalu.
Permohonan tersebut diajukan di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat Rawang, Selangor bersandarkan Seksyen 47 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003.
Tindakan tersebut sekali gus menjadi permohonan kedua Adira selepas menfailkan tuntutan sama pada 1 April 2019 iaitu ketika hamil anak ketiga mereka.
Adira yang baru sahaja diumumkan sebagai naib juara program Famili Duo musim ketiga pada malam tadi menjadi isteri kedua kepada Datuk Red selepas mereka bernikah pada 3 Disember 2015 di Songkhla, Thailand.
Hasil perkahwinan bersama, pasangan itu dikurniakan empat orang cahaya matai aitu Anggrek, 6, Asan, 5, Anggun, 4 dan Ayob yang kini berusia setahun. – KOSMO! ONLINE