KANOWIT – Lelaki yang dilaporkan hilang setelah keluar memancing di Sungai Majau, berhampiran Rumah Panjang Alexander Lutang di sini ditemukan mati lemas, pagi tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, mayat mangsa berusia 50 tahun itu dijumpai terapung kira-kira pukul 6 pagi oleh penduduk kampung.
“Mayat mangsa dijumpai pada jarak tujuh kilometer dari lokasinya dilaporkan hilang.
“Pihak polis bersama-sama anggota Rela dan penduduk kampung mengangkat mayat mangsa dan seterusnya dibawa ke Pusat Kawalan Bomba (PKB) untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Terdahulu, beliau berkata pihaknya menerima laporan mengenai kehilangan mangsa kira-kira pukul 10 malam semalam, apabila tidak pulang ke rumah selepas keluar memancing kira-kira pukul 8 pagi.
Susulan itu, pencarian dilakukan oleh ahli keluarga bersama-sama penduduk kampung namun hanya menjumpai alat memancingnya di tebing sungai. – KOSMO! ONLINE