IPOH – Perak berjaya menurunkan kiraan Ketua Isi Rumah (KIR) Miskin Tegar sebanyak 51 peratus dalam usaha negeri itu menoktahkan kemiskinan.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, data seramai 9,402 KIR yang direkodkan pada Januari 2023 telah menurun kepada 4,819 orang setakat 18 November lalu.
Katanya, satu Bengkel Pelan Tindakan Menoktahkan Kemiskinan Negeri Perak telah dilaksanakan melibatkan 53 agensi berkaitan dengan menetapkan KIR Miskin Tegar pada Januari 2023 dan seterusnya pelbagai usaha bantuan dilakukan.
“Lebih 100 program kesejahteraan rakyat di seluruh Perak telah diadakan dalam menyantuni golongan sasar ini.
“Antaranya program taskforce mobile team, program keusahawanan, kursus-kursus Kemahiran, bantuan perniagaan, baik pulih, bina baru rumah dan bermacam-macam lagi dalam kita memastikan golongan sasar ini dibantu bagi mengeluarkan mereka terus dari kumpulan miskin tegar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Syed Lukman Hakim Syed Mohd. Zin (Bersatu-Chenderoh) yang bertanyakan peranan kerajaan negeri bagi menyokong usaha Pusat untuk menoktahkan kemiskinan di Malaysia menjelang 2024 dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini hari ini.
Kata Saarani, kerajaan negeri juga giat mengumpulkan nama dari setiap daerah yang tergolong kategori miskin tegar untuk dimohon penyertaan mereka ke dalam program di bawah Kementerian Ekonomi iaitu Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR). – KOSMO! ONLINE