fbpx

Tular busking La Bamba, Azharina tak tipu Tok Ram tapi lupa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Azharina menjelaskan keadaan sebenar susulan dakwaan dirinya berbohong tentang kebenaran dirinya pernah mendendangkan lagu La Bamba.

SHAH ALAM – Penyanyi Azharina Azhar tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang sekiranya penyebar video persembahan ‘busking’ La Bamba terus berniat menjatuhkan reputasinya.

Setakat ini, Azharina, juga telah berbincang tentang isu video viral tersebut dengan dua orang peguamnya.

“Saya tanya pendapat peguam mengenai hal ini. Semua bukti sudah saya kumpul termasuk komen-komen netizen.

“Kalau dia teruskan perkara ini, saya tidak akan berkompromi untuk mengambil tindakan seterusnya kerana ini satu hal berlebih-lebihan,” katanya selepas konsert separuh akhir All Stars Gegar Vaganza (GV10), malam tadi.

Mengulas mengenai dakwaan menipu Ketua Juri GV10, Datuk Ramli MS mengenai isu pernah menyanyikan lagu La Bamba, penyanyi asal Sabah itu berkali-kali menegaskan tiada niat untuk berbohong kerana sememangnya langsung tidak mengingati perihal persembahan busking tersebut.

“Kalau anda berada di posisi saya, disoal bertubi-tubi, bolehkah ingat semula memori tersebut? Pasti tidak.

“Sejujurnya memang tidak ingat perkara itu pernah berlaku. Saya disoal adakah pernah nyanyi lagu La BamBa dalam majlis makan malam. Jawapannya memang tidak pernah,” ujarnya.

Pelantun lagu Elegi Sepi itu menegaskan, nyanyiannya pada persembahan busking tersebut juga tidak sempurna dan disifatkan huru-hara.

“Jujur saya beritahu, memang tidak boleh ingat, persembahan pula secara spontan. Nyanyian pun huru-hara, di tepi jalan pula.

“Persembahan busking itu berlaku sekitar tujuh tahun lalu di ibu negara dan diminta untuk menyanyi lagu La Bamba secara spontan dan hasilnya memang tunggang-langgang.

“Bolehkah anda ingat apabila sudah melakukan banyak persembahan ditambah pula perlu menelan ubat sebanyak 32 biji sehari,” katanya lagi.

Minggu lalu, nama Azharina tular selepas muncul sebuah video dia menyanyikan lagu La Bamba milik Los Lobos secara busking di hadapan sebuah pusat beli-belah di ibu negara.

Video tersebut mula tular apabila ada pihak mendakwa dia menipu Ramli MS kerana menyatakan tidak pernah menyanyikan lagu tersebut dalam mana-mana persembahan sebelum ini.

Pertanyaan tersebut diajukan oleh Ramli selepas persembahannya pada konsert suku akhir GV10 minggu lalu namun dinafikan Azharina. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI