fbpx

Juruterbang lemah buat keputusan punca nahas helikopter Cameron Highlands

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Helikopter jenis Eurokopter AS 355 F2 yang terhempas di Brincang tahun lalu.

PETALING JAYA – Siasatan yang dilakukan Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) mendapati, kelemahan juruterbang dalam membuat keputusan ketika cuaca buruk dikenal pasti punca sebuah helikopter terhempas di Brinchang, Cameron Highlands tahun lalu.

Laporan akhir yang dipaparkan menerusi laman sesawang BSKU menunjukkan, pengendali pesawat itu telah diarah untuk menyediakan program latihan berulang kepada juruterbang mengenai penerbangan di kawasan gunung dan dalam keadaan cuaca buruk secepat mungkin.

“Keupayaan penilaian risiko oleh juruterbang dan pertimbangannya perlu dipertingkatkan supaya juruterbang tidak mengambil risiko yang tidak perlu,” katanya.

Terdahulu, helikopter jenis Airbus AS 355 F2 milik syarikat swasta, membawa seorang doktor, dua jururawat dan dua pembantu perubatan dalam misi perubatan dari Tanjung Rambutan, Perak sebelum terhempas berhampiran Brinchang.

Jelas laporan tersebut lagi, siasatan turut mendapati pesawat terbabit berfungsi dengan sempurna pada hari kejadian dan bahagian yang rosak tidak menjadi punca kepada nahas berkenaan.

“Helikopter berkenaan terhempas di bahagian cerun, namun terhalang daripada terus jatuh ke kaki bukit oleh kanopi pokok. Tiga penumpang yang duduk di bahagian belakang kabin tercampak keluar ketika kejadian berkenaan.

“Keenam-enam mangsa yang menaiki helikopter terbabit terselamat, bagaimanapun empat daripadanya mengalami cedera ringan seperti luka, lebam, terseliuh dan tulang retak,” jelas laporan akhir tersebut.

BSKU turut menekankan kepentingan pengetahuan dan pengalaman juruterbang dalam mentafsirkan keadaan alam sekitar apabila beroperasi di kawasan pergunungan, terutamanya ketika cuaca buruk.

“Membuat keputusan yang tepat berdasarkan penilaian risiko yang betul dan pertimbangan yang baik diperlukan dalam persekitaran berkenaan.

“Satu prinsip utama adalah sentiasa peka dengan situasi semasa. Jika ragu-ragu, mendarat dan tunggu cuaca buruk reda,” ujar laporan itu. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI