SHAH ALAM – Bagai dijangka, pasangan adik-beradik, Syaiful dan Sharif muncul sebagai juara Famili Duo musim ketiga (FD3) pada pertandingan akhir yang berlangsung di Studio NTV7 Glenmarie, di sini, malam ini.
Kemenangan tersebut melayakkan kumpulan lawak Zero itu membawa pulang ganjaran lumayan berupa wang tunai berjumlah RM100,000.
Mereka menyampaikan lagu Kong Kali Kong untuk tema pusingan pertama iaitu Tema Berkumpulan/Duet Popular disusuli lagu Medley Lemak Manis, Umpan Jinak Di Air Tenang dan Joget Angan Tak Sudah bagi segmen kedua bertemakan Bebas yang mendapat pujian melambung juri.
Pasangan duo terbabit menduduki tempat pertama dengan markah keseluruhan 81 peratus meninggalkan jauh dua lagi finalis yang turut menunjukkan persaingan sengit.
Prestasi Syaiful, 34, dan adiknya, Sharif, 33, terserlah sejak awal pertandingan realiti terbabit dimulakan apabila tiga kali bergelar juara mingguan iaitu konsert pertama, kelima dan keenam.
Persaing terdekat, Adira Suhaimi dan kakaknya Emma dan duo sepupu, Haqiem Rusli dan Ariff Bahran terpaksa berputih mata selain akur dengan kemenangan yang tidak berpihak kepada mereka.
Terdahulu, enam pasangan dipilih untuk bertanding dalam program realiti kekeluargaan selama lapan minggu, namun tiga daripada duo terbabit tersingkir pada peringkat separuh akhir.
Berkonsepkan kalah mati bersaing hingga minggu ketujuh iaitu peringkat separuh akhir, peserta yang tersingkir ialah duo suami isteri Tom dan Fuad Rahman, duo adik beradik, Rayyan Bakery dan Adam serta Shila Amzah dan Syahir.
Program lapan episod itu memilih pemenang mingguan bersandarkan pemarkahan juri sebanyak 70 peratus, manakala undian dalam talian di Tonton membabitkan 30 peratus.
Persaingan FD3 yang bersiaran sejak 15 Oktober lalu menyaksikan Mas Idayu dan Ajai sebagai juri tetap, manakala Janna Nick bersama Izzue Islam bertindak selaku hos. – KOSMO! ONLINE