MUNICH – Ketua jurulatih Bayern Munich, Hansi Flick percaya kapten pasukan yang juga penjaga gol utama, Manuel Neuer kini berada di puncak prestasi selepas mempamerkan aksi luar biasa ketika menewaskan Red Bull Salzburg 3-1 dalam aksi Liga Europa awal pagi semalam.
Pada aksi tersebut, skuad The Bavaria berjaya meraih gol hasil jaringan Robert Lewandowski, Kingsley Coman dan Leroy Sane tetapi kecemerlangan yang dipamerkan oleh Neuer mencuri tumpuan selepas berjaya menyelamatkan percubaan bahaya pasukan lawan.
Kata Flick, Neuer telah menunjukkan prestasi luar biasa sepanjang tahun selain memberikan tumpuan penuh sepanjang 90 minit perlawanan dalam memastikan jentera serangan lawan mengalami kesukaran untuk menembusi gawang gol.
“Neuer sangat cemerlang pada tahun ini dan cukup konsisten. Tidak keterlaluan untuk saya katakan bahawa dia adalah pemain terbaik dalam skuad ini selain berada di puncak karier.
“Barisan serangan kami juga mempamerkan ketajaman seperti biasa dan saya berpuas hati apabila kemenangan ini dapat mengesahkan tiket buat pasukan ke pentas 16 pasukan terbaik Liga Juara-Juara tahun depan,” katanya.
Sementara itu, Neuer enggan mendabik dada selain percaya masih banyak lagi kelemahan yang boleh diperbaiki dan mahu pasukan terus bekerja keras sekiranya mahu mempertahankan gelaran treble yang dimenangi pada musim lalu.
“Beberapa kelemahan dapat dilihat sejak awal musim ini yang mana kami mudah dibolosi selain penguasaan bola juga tidak begitu baik.
“Justeru, saya harap rakan-rakan sepasukan memberikan sepenuh fokus sepenuhnya kerana kita mempunyai misi untuk mengekalkan setiap trofi yang dimenangi musim lalu pada musim ini,” katanya. – AGENSI