PIRAEUS – Pengurus Manchester City, Pep Guardiola menjelaskan bahawa pasukannya akan berada pada tahap terbaik dalam tempoh beberapa minggu lagi selepas sekadar meraih kemenangan 1-0 menewaskan Olympiakos awal pagi semalam.
Biarpun hanya mencatat kemenangan tipis, kejayaan itu membolehkan City mengesahkan slot ke pusingan 16 pasukan terbaik saingan tersebut.
Pada aksi tersebut, Phil Foden muncul wira City pada aksi yang berlangsung di Stadium Karaiskakis dengan meledak gol kemenangan biarpun mereka berjaya melakukan 22 percubaan ke arah gawang wakil dari Greece itu.
“Kami bermain dengan sangat baik di semua posisi.
“Kami sudah mengesahkan tempat dan boleh kembali memberi fokus kepada saingan lain pula selepas ini. Kami memang sentiasa mahu menjaringkan banyak gol dan masa itu akan datang juga selepas ini.
“Hari ini kamu bermain dengan agresif untuk mencari lebih banyak gol tetapi bukan suatu yang mudah berdepan pasukan yang bertahan menggunakan sembilan pemain.
“Kami meletakkan pemain sayap berhampiran dengan barisan penyerang. Kami menggunakan Bernardo Silva, Foden dan Raheem Sterling menyebabkan jentera serangan kelihatan sangat agresif.
“Mereka menggunakan taktik hantaran jauh tetapi pemain pertahanan kami, John Stones dan Ruben Dias memberikan sepenuh fokus untuk menghalang mereka.
“Saya gembira kerana semua pemain yang diturunkan memberikan sepenuh komitmen. Kami akan pulang untuk proses pemulihan sebelum memikirkan aksi Liga Perdana Inggeris dan kejohanan lain pula selepas ini,” jelasnya. – AGENSI