JOHOR BAHRU – Johor mencatatkan satu lagi kluster Covid-19 baharu hari ini, dikenali sebagai Kluster Gemilang melibatkan mukim Tebrau, di bandar raya ini, menjadikan keseluruhan kluster aktif di Johor sebanyak 10 kluster.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R. Vidyananthan berkata, kes indeks bagi kluster itu merupakan seorang pekerja di salah sebuah syarikat logistik.
Menurutnya, pesakit dikenalpasti positif pada 22 November lalu hasil saringan kemasukan di hospital swasta, ekoran gejala susah bernafas.
“Susulan itu, hasil saringan kontak rapat mendapati 25 rakan sekerjanya dikesan positif dan kesemua kes tersebut dimasukkan ke hospital untuk rawatan lanjut dan isolasi.
“Sehingga 12 tengahari hari ini, seramai 95 kontak rapat telah disaring, di mana 26 kes didapati positif setakat ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sehubungan itu, Jabatan Kesihatan telah menjalankan pemeriksaan berskala besar ke atas pekerja syarikat tersebut termasuk pemandu dan kelindan lori.
“Pekerja yang terbabit telah diberikan perintah duduk di rumah bagi mengawal pergerakan mereka.
“Memandangkan syarikat itu mempunyai kerjasama dengan pelbagai industri di daerah ini, Jabatan Kesihatan menasihati mereka yang terbabit melaksanakan saringan Covid-19 sebagai satu prosedur pencegahan,” ujarnya lanjut. – K! ONLINE