VALENCIA – Pelumba legenda MotoGP, Valentino Rossi menganggap kehadiran juara dunia enam kali, Marc Marquez bersama Gresini Racing boleh mendatangkan ancaman kepada semua pasukan pada kempen musim depan.
Marquez yang sah berhijrah daripada pasukan Repsol Honda dilihat tidak menunggu lama untuk menyesuaikan diri dengan jentera Gresini apabila tampil cemerlang pada sesi ujian penutup musim di Litar Valencia minggu lalu.
Prestasi cemerlang Marquez mungkin boleh menggugat rekod milik Rossi selaku juara dunia tujuh kali memandangkan pelumba kelahiran Sepanyol itu hanya kurang satu gelaran dunia sahaja ketika ini.
Namun, Rossi mengakui tidak risau andai rekod miliknya tercalar sebaliknya percaya semua pasukan bakal memberikan tentangan sengit nanti.
“Perkara paling menarik musim depan adalah menyaksikan Marquez bakal menunggang jentera Ducati buat kali pertama. Kita lihat sahaja bagaimana percaturan Gresini tetapi kita tidak boleh nafikan bakat Marquez dan semua pasukan perlu bersedia,” katanya.
Sementara itu, Rossi turut meletakkan sasaran baharu buat pelumba utama pasukan VR46 miliknya, Marco Bezzecchi selepas menolak tawaran untuk berhijrah ke pasukan Pramac Racing musim depan.
“Saya harap kita dapat diberikan jentera kilang Ducati meskipun versi GP23 dan GP24 tidak terlalu ketara. Namun, kita sudah ada sasaran buat Bezzecchi kerana kali ini pasukan enggan sekadar tangkap muat sebaliknya mencabar kejuaraan dunia,” katanya. – AGENSI