fbpx

Sasar RM1 juta jualan Hari Batik Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gelagat sebahagian peserta melakukan aktiviti 'zumbatik' sempena sambutan Hari Batik Malaysia di Kompleks Kraf, Jalan Conlay hari ini. - Foto AMIR KHALID

KUALA LUMPUR – Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia) menyasarkan nilai jualan RM1 juta sepanjang lima hari penganjuran sambutan Hari Batik Malaysia 2023 yang berakhir hari ini.

Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia, ‘Ainu Sham Ramli berkata, pihaknya yakin sasaran itu dapat dicapai berdasarkan sambutan dan kehadiran pengunjung di lokasi penganjuran di seluruh negara yang bermula 30 November lalu.

“Amat memberangsangkan apabila ramai pembeli yang datang memandangkan promosi dari pukul 10 pagi hingga 10 malam di samping cuti hujung minggu. Pelbagai aktiviti turut diadakan kepada pengunjung.

“Justeru, sambutan kali ini hingga esok (hari ini), kita sasar nilai jualan RM1 juta dan insya-Allah esok harap dapat dicapai,” katanya kepada media sempena sambutan Hari Batik Malaysia 2023 di Kompleks Kraf Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Selain kompleks tersebut, Hari Batik Malaysia 2023 juga disambut serentak di semua cawangan negeri dan Kompleks Kraf Langkawi, selain diadakan di pusat beli-belah antaranya AEON Mall Manjung, Perak, KB Mall, Kelantan, One Borneo Kota Kinabalu, Sabah dan Freeport A’Famosa Outlet, Melaka.

Beliau berkata, pelbagai pengisian diadakan termasuk Jualan Rahmah Batik serendah RM100 merangkumi pelbagai produk batik seperti kemeja lelaki, kain pasang, pakaian wanita, kardigan dan sebagainya.

Hari Batik Malaysia disambut pada 3 Disember setiap tahun dan penganjuran kali ketiga ini bertemakan ‘Ini Batik Malaysia’ disambut bertujuan memartabatkan dan memperkasa industri kraf batik.

Langkah ini sekali gus meningkatkan lagi kesedaran dan penggunaan batik Malaysia dalam kalangan rakyat serta dapat memelihara seni warisan negara. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI