NASKHAH memaparkan kesungguhan dan survival dalam menempuh kehidupan di ibu kota yang penuh pancoraba sering menjadi pilihan rumah produksi masa kini.
Terbaharu, naskhah Prebet Sapu arahan sutradara muda Muzzamer Rahman yang dibintangi pendukung utama Amerul Affendi dan Mei Fen Lim muncul dengan tekad mahu memeriahkan dan mewarnai industri filem negara.
Menurut Muzzamer, Prebet Sapu merupakan filem sulung arahannya yang mengisahkan perjalanan kehidupan anak muda berbeza latar belakang yang menetap di Kuala Lumpur.
“Istimewa, Prebet Sapu merupakan filem hitam putih yang mengetengahkan kembara hidup anak muda bernama Aman lakonan Amerul yang menghidap buta warna dan berhijrah ke ibu kota untuk mencari rezeki.
“Semuanya berlaku selepas ayahnya meninggal dunia. Dia fikir sudah tidak ada apa yang tinggal di kampung selain perlu mengubah nasibnya dengan cara berhijrah,” kongi Muzzamer kepada HibGlam.
Ditebak mengenai proses penggambaran, Muzammer memberitahu, pembikinan Prebet Sapu telah dimulakan sejak awal 2017 dan siap sepenuhnya pada September tahun ini.
Ujarnya, Prebet Sapu turut dibintangi pelakon Bront Palarae, Sharifah Amani, Nam Ron, Nadiya Nisa, Chew Kin Wah, Jay Iswazir, Roslan Madun dan beberapa nama besar lain.
Berkongsi pencapaiaan yang diperolehi kru produksi, Muzammer bersemangat memberitahu, walaupun filem tersebut belum ditayangkan, Prebet Sapu telah meraih kejayaan peribadi apabila terpilih secara rasmi untuk ditayangkan pada Jogja-Netpac Asian Film Festival (JAFF) kali ke-15 di Indonesia.
Katanya, Prebet Sapu terpilih untuk tayangan di pawagam terpilih di Jogja ada 25 hingga 29 November dan tayangan perdana dunia semasa festival.
“Pastinya kejayaan dan kenangan manis ini merupakan satu pembakar semangat kami untuk terus berkarya dalam menghasilkan lebih banyak filem tempatan berkualiti setanding antarabangsa,” ujarnya yang turut berperanan sebagai penerbit bersama menerusi naskhah tersebut.
Kekangan dana
Sementara itu, Azharul Azmir Kamarulzaman yang bertindak selaku penerbit bagi naskhah tersebut menyatakan, biarpun mengambil tenpoh panjang untuk disiapkan rentetan kekangan dana, namun semangat dan kerjasama yang diberikan semua kru dan pelakon harus diberi pujian.
“Kita turut mengharapkan naskhah ini bakal diterima semua. Semoga dengan kehadiran buah tangan terbaharu ini, ia dapat memeriahkan dan merancakkan lagi industri filem tanah air menerusi karya anak tempatan,” tuturnya yang memberitahu Prebet Sapu menelan kos pembikinan mencecah RM500,000.
Diterbitkan tiga rumah produksi iaitu Le Mediator Studio, Kristal Azmir Sdn. Bhd. dan Konda Kondi Studio, Prebet Sapu dijangka menemui penonton Malaysia pada pertengahan tahun hadapan, bergantung situasi Covid-19.