BEIJING – Seorang pengutip sampah yang didapati terperangkap di dalam saluran longkang selama tiga hari berjaya diselamatkan di Kunming, Yunnan, China, baru-baru ini, lapor akhbar The Sun.
Lelaki tersebut diselamatkan selepas seorang pelajar sebuah sekolah memandu terdengar bunyi dari bawah tanah sebelum menyedari terdapat dua batang jari terkeluar dari lubang penutup saluran longkang berkenaan.
Seorang tenaga pengajar sekolah memandu itu berkata, lelaki tersebut dikatakan sedang mengutip sampah di kawasan berkenaan sebelum sesat dan tidak menjumpai jalan pulang.
“Dia mengutip sampah di sepanjang terusan berhampiran sebelum memasuki longkang bertutup itu dan tidak jumpa jalan keluar.
“Sekolah memandu ini agak besar dan ia dibina di atas saluran longkang yang mempunyai sambungan ke banyak tempat. Saya tidak terkejut jika dia boleh tersesat,” katanya.
Sejurus menyedari lelaki tersebut terperangkap di dalam saluran berkenaan, mereka terus menghubungi pihak bomba yang mengambil masa hanya 30 minit untuk menyelamatkan mangsa.
Sementara itu, seorang anggota bomba dari Briged Bomba Luosiwan, Li Haonan berkata, ketika menjalankan operasi menyelamat, mereka perlu melakukannya dengan berhati-hati supaya mangsa tidak tercedera.
“Kami tidak boleh menggunakan peralatan berat kerana ia boleh mencederakan mangsa, jadi kami terpaksa menggunakan tukul untuk memecahkan konkrit di sekeliling penutup saluran longkang tersebut.
“Kami turut memberinya air minuman kepada mangsa bagi memastikannya terhidrat sebelum mengeluarkannya dari saluran longkang itu,” ujarnya.
Tambah Haonan, mangsa kemudian dikejarkan ke hospital berhampiran untuk mendapatkan rawatan lanjut. – Agensi