PETALING JAYA – Jurugambar sambilan daripada agensi Anadolu, Montaser Al-Sawaf terbunuh menerusi serangan udara tentera Israel selepas tamatnya gencatan senjata kelmarin.
Menerusi perkongsian seorang aktivis Britian, Sarah Wilkinson di aplikasi X, Al-Sawaf syahid sewaktu diserang di kejiranan Ed-Durc di selatan Gaza.
Sementara itu, media tempatan memaklumkan, Al-Sawaf mengalami kecederaan parah selepas terkena bom dan terpaksa menunggu ambulans kira-kira setengah jam.
Bagaimanapun, dia dibawa ke Hospital Al-Ahli Baptist dengan kenderaan persendirian selepas tiada pasukan perubatan tiba di lokasi kejadian.
Dalam perkembangan sama, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Anadolu, Serdar Karagoz dalam kenyataan memaklumkan sehingga kini, 71 wartawan sudah terbunuh dalam serangan Israel ke atas Gaza.
“Di Anadolu, kami berjuang untuk memastikan keselamatan rakan sekerja kami yang menjalankan tugas mereka dalam keadaan yang amat sukar di Gaza dengan dedikasi yang tinggi.
“Bagi pihak semua rakan sekerja kami yang terbunuh dalam serangan oleh Israel di Gaza, termasuk pekerja sambilan agensi kami Montaser Al-Sawaf.
“Kami akan meneruskan perjuangan agar mereka yang bertanggungjawab atas serangan ini dan didakwa mengikut undang-undang antarabangsa,” katanya.
Sebelum ini, Israel mengumumkan penyambungan semula pertempuran ke atas Gaza dengan melakukan beberapa siri serangan udara di seluruh wilayah itu selepas gencatan senjata tamat.
“Hamas melanggar jeda operasi, dan sebagai tambahan, menembak ke arah wilayah Israel.
“IDF (Pasukan Pertahanan Israel) sudah menyambung semula pertempuran menentang organisasi Hamas di Semenanjung Gaza,” kata tentera Israel.
Sehubungan itu, sekurang-kurangnya 184 nyawa terkorban, 589 mangsa cedera dan lebih 20 rumah musnah dalam tempoh dua hari sejak tentera penceroboh Israel melancarkan semula serangan di Semenanjung Gaza pada pagi Jumaat. – KOSMO! ONLINE