PORT DICKSON – Sebanyak 38,500 liter diesel bersubsidi bernilai RM82,775 dirampas melalui Ops Tiris dalam serbuan di sebuah premis tanpa nombor di Kampung Kebun Jimah, di sini semalam.
Pengarah Kementerian Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sembilan, Muhammad Zahir Mazlan berkata, seramai 13 lelaki tempatan berusia 20 hingga 54 tahun ditahan.
Katanya, mereka disyaki berurusan dengan barang kawalan berjadual tanpa lesen atau permit sah dan melanggar Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan1961 serta Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.
“Premis itu dipercayai dijadikan tempat urus niaga jualan minyak diesel selain tempat pengumpulan dan penyimpanan minyak diesel bagi tujuan diseleweng,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Muhammad Zahir berkata, turut disita 15 buah lori, satu unit badan lori tangki, 32 unit tangki IBC, 15 unit pam minyak beserta hos, dua unit pam bermeter serta wang tunai RM21,000 yang menjadikan keseluruhan nilai rampasan RM302,775.
“Satu kertas siasatan telah dibuka dan siasatan lanjut ke atas kes ini sedang dilakukan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi mengenal pasti individu atau syarikat terlibat dalam aktiviti ini serta rantaian pengedaran diesel tersebut,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE