PETALING JAYA – Tiada angin, timbul dakwaan mengatakan bahawa kontrak penyanyi Kaka Azraff bakal ditamatkan syarikat rakaman Warner Music Malaysia gara-gara kelantangannya menyelar tindakan kejam Israel terhadap Palestin.
Difahamkan, perkara itu tercetus susulan tindakan penyanyi tersebut meninggalkan komen dengan mengecam pempengaruh dan pelakon Australia pro-Israel, Nathaniel Buzolic, beberapa minggu lalu.
“Kerana Israel adalah orang yang memulakan (perang). Israel mencuri tanah mereka dan kini bertindak seperti mereka mangsa?
“Orang sakit. Hitler sepatutnya membunuh semua Israel!” tulis Kaka.
Susulan tindakan penyanyi itu, identitinya telah diselidik oleh pihak Instagram, sekali gus mendedahkan maklumat peribadinya.
Pihak berkenaan dilihat menjalankan penyelidikan mengenai latar belakangnya sekali gus mendedahkan gambar, butiran peribadi, syarikat dinaunginya iaitu Warner Music Malaysia serta menyebut Kaka sebagai anti-Yahudi.
Berikutan pendedahan itu, penyokong tegar Israel mula menyerang Instagram penyanyi terbabit dalam ruangan komen.
Terdahulu, pada 13 Oktober lalu, syarikat induk, Warner Music Group memuat naik hantaran Instagram yang menyatakan sokongan terhadap Israel selain melabelkan Hamas sebagai pengganas.
Begitupun, penyanyi Bukan Hal Aku itu tidak dapat dihubungi untuk mengesahkan spekulasi penamatan kontrak dengan labelnya, begitupun juga wakil Warner Music Malaysia. – KOSMO! ONLINE