DUNGUN – Jenazah bapa pemain bola sepak kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), Safawi Rasid selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Syed Yahya di sini hari ini.
Allahyarham Rasid Sulong,70, selamat dikebumikan di tanah perkuburan tersebut pada pukul 2.15 petang.
Terdahulu, jenazah Allahyarham disolatkan di Masjid Padang Jambu di sini sebelum di bawa ke tanah perkuburan untuk dikebumikan.
Safawi berkata, arwah bapanya rebah sebelum meninggal dunia di rumah keluarganya di Kampung Bukit Chatak di sini pada pukul 12 tengah malam tadi.
“Saya menerima khabar duka itu sewaktu berada di rumah di Gelang Patah, Johor.
“Saya dan isteri (Syifa Malvin) terus bertolak pulang ke kampung,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Syed Yahya di sini hari ini.
Safawi berkata, pemergian bapanya adalah kehilangan besar dalam hidupnya.
Bintang Harimau Malaya itu memberitahu arwah bapanya sentiasa menjadi pendorong utama dalam perkembangan karier bola sepaknya. – KOSMO! ONLINE