SKUAD Harimau Malaya digesa agar tidak terlalu selesa dengan peningkatan kedudukan ranking selepas melonjak tujuh anak tangga apabila berada di kelompok 130 negara terbaik dunia ketika ini.
Pemerhati sukan tempatan, Datuk Dr. Pekan Ramli berkata, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) perlu bijak mengatur perlawanan yang boleh meneruskan momentum selain menaikkan ranking Malaysia pada tahun depan.
Kata Pekan, peningkatan ranking Harimau Malaya ketika ini masih lagi boleh dianggap perlahan walaupun agak positif sebelum mengharungi kejohanan Piala Asia 2023 di Qatar bulan depan.
“Kalau kita tengok pada ranking semasa, Harimau Malaya sudah berada di kedudukan ke-130 dunia dan menunjukkan peningkat positif meskipun agak perlahan.
“Andai sekarang kita berada dalam kelompok 120 dunia mungkin kita boleh cakap peningkatan yang dilakukan sangat drastik dan ketara, tetapi ia bukanlah tugas mudah.
“Namun, saya masih anggap kedudukan ini sebagai pemangkin semangat sebelum mengharungi kempen Piala Asia nanti.
“Cuma, persatuan kena bijak mengatur strategi kerana ranking boleh turun dengan mendadak andai skuad kebangsaan tewas pada aksi-aksi mendatang,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Berdasarkan ranking terkini yang dikeluarkan FIFA kelmarin, Malaysia masih lagi berada di kedudukan negara ketiga terbaik ASEAN di belakang Vietnam di kedudukan 95 dunia dan Thailand (113).
Mengulas lanjut, Pekan turut percaya kehadiran pengendali import, Kim Pan-gon serta prestasi konsisten pemain berdarah warisan menjadi faktor utama pasukan Malaya boleh menunjukkan peningkatan sejak tahun lalu.
“Kita tidak boleh nafikan jurulatih (Pan-gon) telah berikan sentuhan ajaib dan antara faktor penyumbang sejak membimbing pasukan tahun lalu.
“Namun, saya turut melihat prestasi cemerlang pemain berdarah warisan juga menjadi salah satu punca utama selain kelab-kelab berpengaruh yang sedia lepaskan pemain sertai kelab kebangsaan,” katanya.