fbpx

K2

Pesta buru kerapu boron bermula

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AMIRUL HAFIZ (kiri) dan rakan pemancing menunjukkan kerapu boron begitu besar yang berjaya didaratkan mereka.

SPESIES ikan kerapu atau nama saintifiknya Epinephelus malabaricus banyak mendiami kawasan perairan di negara ini.

Di Malaysia, spesies kerapu ini turut dikenali sebagai kerapu bintik atau kerapu karang, kerapu Malabar dan kerapu mata hijau.

Bagi kerapu bersaiz besar pula, ia mendapat nama jolokan kerapu boron atau kerapu tong gas.

Saiz fizikal yang besar inilah telah menjadikannya sebagai antara spesies buruan para kaki pancing yang dahagakan daya lawan yang kuat daripada hidupan laut ini.

Antara kaki pancing yang kerap memburu spesies kerapu boron ini termasuklah Amirul Hafiz Mohd. Paiman, 40, yang berasal dari Batu Pahat, Johor.

Dia yang turut dikenali sebagai Angler Jambang dalam kalangan rakan-rakan kaki pancing memberitahu, kerapu boron banyak terdapat di kawasan perairan Pontian di Johor dengan musim memburunya adalah antara bulan November hingga April setiap tahun.

Malah katanya, boleh dikatakan tempoh antara November hingga April itu bagaikan pesta bagi kaki pancing untuk memburu si boron ini khususnya di kawasan perairan berkenaan.

“Sebab itulah setiap kali tiba bulan November, saya dan rakan-rakan pasti tidak akan melepaskan peluang untuk menyusun jadual kami untuk turun ke laut bagi memburu kerapu boron.

“Biasanya saya akan menjadikan perairan di sekitar Johor khususnya di Pontian bagi memburu kerapu boron kerana di sana banyak terdapat kawasan karangan yang menjadi ‘port’ spesies ini bermain,” katanya.

Menurut Amirul Hafiz lagi, walaupun sudah berpengalaman dalam memburu pelbagai spesies ikan bersaiz besar, namun aktiviti memburu kerapu boron memberikan cabaran yang berbeza.

Ini kerana jelasnya, setiap pemancing perlu mahir dalam melayan daya lawan spesies berkenaan, selain perlu tahu cara untuk memancing di kawasan batu karang atau dasar yang berstruktur.

Malah katanya, ramai pemancing yang mengakui kesukaran untuk mendaratkan spesies kerapu boron ini disebabkan sifatnya yang ganas dan kerap menjadikan kawasan batu karang untuk bersembunyi.

“Disebabkan kerapu boron banyak mendiami kawasan batu karang atau tempat yang mempunyai struktur seperti rangka kapal karam dan sebagainya, ia memerlukan seseorang pemancing itu mempunyai kemahiran tertentu.

“Malah, ramai pemancing yang berputih mata apabila gagal menaikkan spesies kerapu boron kerana tidak mahir melayan daya tarikan ikan berkenaan, selain faktor-faktor lain seperti batu karang dan struktur yang menyebabkan tali terputus,” katanya.

Mengulas mengenai teknik pancingan untuk memburu kerapu boron, Amirul Hafiz memberitahu dia kerap menggunakan teknik ‘slow jigging’ dan pancingan dasar.

Dia juga akan menggunakan set joran untuk aksi berat dengan dipadankan bersama tali utama saiz sekurang-kurangnya 50 paun atau lebih tinggi agar mampu menahan daya tarikan ikan.

Setakat ini jelasnya, saiz ikan kerapu boron terbesar yang pernah didaratkan olehnya ialah sekitar 35 kilogram (kg) seekor, manakala purata saiz yang kerap diperoleh adalah antara 10kg hingga 20kg.

“Biasanya, jika ikan kerapu yang diperoleh bersaiz kurang daripada 10kg, kami akan membahagikan kepada sesama pemancing untuk dibawa pulang terutama bagi dijadikan hidangan.

“Namun, jika saiz kerapu boron yang didaratkan bersaiz lebih besar, kami akan menjualnya kepada peraih.

“Selain faktor harganya yang agak tinggi, ia juga memudahkan kami kerana tidak perlu memikirkan cara untuk menyimpannya disebabkan oleh saiznya yang besar.

“Malah pada pendapat saya, isi kerapu boron yang bersaiz besar ini agak keras berbanding isi kerapu boron bersaiz lebih kecil,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI