fbpx

Kejohanan Enrich Sports Game jadi platform cungkil bakat jadi duta produk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kejohanan Enrich Sports Game bakal menjadi medan baharu untuk mencungkil bakat baharu dalam industri sukan negara.

PETALING JAYA – Kejohanan Enrich Sports Game anjuran Kelab Bina Badan Enrich (KBBE) pada 10 Disember ini yang akan menawarkan aktiviti seperti Strongest Man, Arm Wrestling Zumba dan Fitness Challenge bakal membuka peluang kepada peserta untuk menjadi duta kepada syarikat produk kecergasan.

Ini adalah platform terbaik kepada individu yang memiliki tahap kesihatan dan pakej keperibadian yang baik berpotensi besar untuk menjana pendapatan baharu pada masa depan.

Penganjur kejohanan tersebut, Krishna Kumar berkata, kejohanan ini juga mahu meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan bersenam demi mendapatkan tubuh badan yang sihat dan kekal cergas.

“Program ini juga akan memberi pendedahan kepada pengunjung berkenaan tentang disiplin yang diterapkan oleh peserta ketika bertanding yang memerlukan penekanan dari segi fizikal dan juga mental yang betul selain mengamalkan budaya hidup sihat serta lebih proaktif,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan.

Krishna menerangkan, kejohanan yang akan berlangsung hanya sehari   di Bunga Kemboja Fitnes Seri Kembangan ini bakal menawarkan hadiah lumayan bernilai hampir RM30,000 kepada para pemenang kejohanan tersebut.

Program yang mendapat sokongan daripada Kementerian Belia dan Sukan itu akan menjadi festival sukan terbesar yang dibahagikan kepada beberapa kategori dan terbuka kepada semua warganegara dari pelbagai peringkat umur.

Tambah beliau, dijangkakan lebih daripada 300 peserta dijangka menyertai pertandingan Strongest Man, Arm Wrestling, Zumba dan Fitness Challenge dan juga pertandingan makan burger diet terbanyak dalam masa lima minit.

Krishna memaklumkan, penganjuran kejohanan itu merupakan edisi ketiga sebelum terpaksa dihentikan selama tiga tahun gara-gara pandemik Covid-19 pada 2020.

“Tujuan utama kejohanan ini diadakan adalah untuk membina ruang bagi semua peserta menunjukkan bakat mereka secara individu di dalam sukan yang tersenarai serta menggalakkan lebih ramai bakat baharu untuk mengambil bahagian.

“Pada masa sama, kami mahu mengembangkan bakat bagi peserta yang layak untuk terlibat di dalam penyertaan ke peringkat lebih tinggi untuk mewakili negeri dan negara pada masa akan datang,” ujarnya.

Sementara itu, yuran penyertaan bagi Kejohanan Enrich Sports Game adalah RM25 bagi dewasa dan RM10 untuk kanak-kanak. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI