KUALA SELANGOR – Perbuatan hina seorang bapa yang tergamak merogol anak angkatnya selama dua minggu di Sungai Tengi Kanan, Tanjong Karang di sini, terbongkar selepas dicekup polis di Johor, baru-baru ini.
Kejadian malang itu menimpa gadis berusia 19 tahun berkenaan selepas menetap bersama suspek berusia 43 tahun pada 27 Mac lalu.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata, penahanan suspek dilakukan selepas ibu mangsa berusia 41 tahun mengambil dan membawa gadis itu ke balai polis.
Jelas beliau, siasatan mendapati mangsa kali terakhir dirogol lelaki berkenaan kira-kira pukul 1 pagi.
“Suspek memasuki bilik mangsa lalu merogolnya dan ia berlaku dua minggu berturut-turut sejak gadis berkenaan tinggal bersama bapa angkatnya itu
“Mangsa kemudian dihantar ke Hospital Sungai Buloh dan pemeriksaan mengesahkan dia dirogol,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Tambah Ramli, suspek kemudian dilaporkan menghilangkan diri selepas kejadian.
“Namun, dia berjaya ditahan di sekitar Seri Alam, Johor pada 26 November lalu. Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 376 (B) Kanun Keseksaan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE