ALOR SETAR – Polis menahan seorang remaja perempuan bagi membantu siasatan berhubung penemuan bayi perempuan di atas jalan berhampiran sawah di Kampung Kubang Pangas, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, remaja berusia 15 tahun yang dipercayai ibu kepada bayi itu ditahan di sekitar kawasan Kubang Rotan pada petang semalam.
Kata beliau, pihaknya bagaimanapun membebaskan remaja terbabit dengan jaminan polis bagi membolehkannya mendapatkan rawatan.
“Remaja itu sudah tidak bersekolah dan kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan,” katanya di sini hari ini.
Kosmo! semalam melaporkan seorang penduduk terkejut apabila menemui bayi perempuan yang ditinggalkan di atas jalan berhampiran sawah padi di Kampung Kubang Pangas.
Menurut seorang penduduk, Mat Zuki Deris, 59, dia menemui bayi dipercayai baru dilahirkan itu ketika melalui jalan menghala ke kawasan pembinaan jambatan di situ kira-kira pukul 7.30 pagi semalam.
Bayi itu ditinggalkan di atas jalan dengan hanya berlapikkan kain pelekat dan kain batik serta lengkap berpakaian. – KOSMO! ONLINE