fbpx

‘Menggeletar satu badan dengar ngauman pak belang’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sufiah menunjukkan lokasi terdengar ngauman harimau ketika menggali ubi kayu di kebunnya di Kampung Batu Papan, Gua Musang semalam. – AIMUNI TUAN LAH

GUA MUSANG – Kira-kira 1,000 penduduk di Kampung Batu Papan di sini, hidup dalam ketakutan selepas ada dalam kalangan mereka mendengar ngauman harimau beberapa hari lalu.

Seorang penduduk, Sufiah Yahya, 58, berkata, dia dan anaknya, Che Muhammad Hawari Che Noh, 30, mendengar bunyi itu pada Selasa lalu sewaktu menggali ubi kayu di kebun yang terletak berhampiran rumahnya.

“Apabila dengar bunyi ngauman itu, kami segera lari menyelamatkan diri. Bunyi itu jelas dan kuat seolah-olah haiwan tersebut ada berdekatan kami.

“Saya dengar ngauman pertama pada pukul 11 pagi, manakala bunyi kedua empat jam kemu­dian,” katanya semalam.

Sufiah memberitahu, dia tidak pernah terserempak atau mendengar bunyi ngauman harimau sepanjang lebih 30 tahun tinggal di kawasan itu.

Seorang lagi penduduk, Abdullah Muda, 63, berkata, dia berasa resah sejak sebulan lalu selepas terserempak dengan pak belang di laluan masuk jalan kampung dan kawasan tangki air.

Katanya, penduduk melakukan urusan harian dalam ketakutan kerana bimbang kehadiran harimau di kebun mereka.

“Kampung ini terletak berhampiran Hutan Simpan Kekal Batu Papan. Mungkin haiwan itu tersesat masuk ke kawasan kampung untuk mencari makanan,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Galas, Mohd. Syahbuddin Hashim menasihatkan penduduk supaya me­lakukan aktiviti di kebun secara berkumpulan dan segera me­laporkan kepada Perhilitan jika menjumpai kesan kehadiran haiwan liar tersebut.

Kelmarin, lelaki warga Indonesia dikenali sebagai Syabaini, 36, maut akibat dibaham harimau di kawasan ladang getah Kampung Kuala Tol, di sini. Mangsa merupakan individu ketiga yang menjadi mangsa pak belang dalam tempoh tiga minggu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI