BEREGU lelaki No.1 negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik enggan kecewa lagi pada penampilan keempat di kejohanan badminton Jelajah Dunia Akhir 2023 yang akan berlangsung di Hangzhou, China bermula 13 hingga 17 Disember.
Bekas juara dunia itu mengalami mimpi ngeri dalam tiga penampilan terdahulu pada 2019, 2020 dan 2022 apabila mereka tersingkir daripada saingan selepas tersekat di peringkat kumpulan.
Justeru, Aaron-Wooi Yik melaungkan keazaman untuk memperbaiki pencapaian tersebut dengan meletakkan sasaran sekurang-kurangnya mara ke separuh akhir pada kejohanan yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan AS$2 juta (RM9.31 juta).
“Kami sudah tiga kali layak ke Jelajah Dunia Akhir sebelum ini dan tahun ini akan menjadi penampilan keempat. Oleh itu, kami harap boleh melepasi peringkat kumpulan walaupun ia bukanlah sesuatu yang mudah.
“Kami perlu bersaing dengan tujuh lagi beregu terbaik, jadi kami harap boleh menampilkan persembahan terbaik, lebih-lebih lagi ia adalah kejohanan terakhir tahun ini. Kami mahu menikmatinya,” kata Wooi Yik.
Untuk rekod, hanya lapan beregu terbaik dalam ranking saingan Jelajah Dunia BWF (Persekutuan Badminton Dunia) dapat melayakkan diri ke Jelajah Dunia Akhir dengan Aaron-Wooi Yik menghuni tangga keempat.
Selain Aaron-Wooi Yik, tujuh lagi beregu yang layak adalah pasangan No.1 dunia dari China, Liang Wei Keng-Wang Chang, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto (indonesia), Takuro Hoki-Yugo Kobayashi (Jepun), Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae (Korea Selatan), Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen (Denmark), Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi (China) dan Muhammad Shohibul Fikri-Bagas Maulana (Indonesia).