LONDON – Ketua pasukan Red Bull, Christian Horner mengakui jentera yang mereka bangunkan musim depan terarah kepada evolusi berikutan kejayaan luar biasa pasukannya pada tahun ini.
Kehebatan jentera Red Bull RB19 dapat dilihat pada perlumbaan penutup tirai di Grand Prix (GP) Abu Dhabi pada hujung minggu lalu selepas Max Verstappen meninggalkan pesaingnya dari Ferrari dengan kelebihan 17 saat.
Kemenangan tersebut membolehkan, Verstappen terus mengekalkan penguasaan apabila meraih 19 rekod kemenangan.
Bagaimanapun, kepantasan yang Red Bull cipta sepanjang musim ini membuatkan Mercedes bimbang dengan keadaan tersebut dan ia diakui oleh Hamilton.
“Syukurlah, kami mempunyai asas yang baik menjelang musim depan. Seperti sedia maklum kami berdepan masalah kekangan terutama penggunaan terowong angin yang terhad.
“Tetapi, disebabkan kami mempunyai permulaan yang hebat dengan RB19 ini membolehkan kami menggunakan jumlah sumber yang terhad kepada pembangunan RB20.
“Sebab itulah pembangunan RB20 sangat jimat sejak pertengahan tahun ini. Apapun, pembangunan jentera tahun depan adalah evolusi dan bukannya penghasilan sesuatu yang baharu.
“Jelas sekali pasukan ini telah melakukan kerja yang cemerlang tahun ini dan berupaya membangunkan jentera paling berjaya dalam sejarah perlumbaan F1. Mereka semua boleh berbangga dengan itu,” kata Horner. – AGENSI