PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menerima kunjungan hormat Menteri Pertahanan Indonesia, Prabowo Subianto di Seri Perdana, Putrajaya hari ini.
Turut bersama dalam pertemuan itu adalah Menteri Pertahanan, Datuk Seri Utama Mohamad Hasan dan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah.
Ujarnya, pertemuan tersebut membincangkan pelbagai isu terkait kepentingan bersama Malaysia dan Indonesia.
“Perbincangan bersama TYT Prabowo Subianto termasuklah tentang hubungan bilateral dalam soal pertahanan dan keamanan negara.
“Semoga hubungan kedua negara serumpun ini terus terjalin erat dan utuh buat selamanya, Insya-Allah,” tulisnya dalam hantaran Facebook hari ini.
Terdahulu, ketibaan Prabowo disambut oleh Mohamad di Pangkalan Udara Subang sempena lawatan beliau ke Malaysia dan dijadualkan pulang ke Indonesia pada hari yang sama.
Untuk rekod, Prabowo sebelum ini telah bertemu Anwar pada Mei lalu sempena Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA ’23).
Sebelum itu, Mohamad juga pernah menemui Prabowo di di kompleks bangunan Kementerian Pertahanan, Jakarta bagi membincangkan kerjasama dua hala dalam pelbagai aspek yang dianggap sebagai ‘produktif’ oleh Kementerian Pertahanan Malaysia. – KOSMO! ONLINE