SUNGAI PETANI – Seorang pekerja kilang maut selepas motosikal yang ditunggang bergesel dengan sebuah kereta dalam kemalangan di Kilometer 107.5 Lebuh Raya Utara Selatan berdekatan Taman Sejati, di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.50 pagi itu, mangsa, Sabari Mahamud, 58, meninggal dunia di lokasi kemalangan akibat kecederaan parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, kejadian berlaku ketika mangsa menunggang motosikal Yamaha 135LC ke tempat kerjanya di Butterworth, Pulau Pinang.
“Sebaik tiba di lokasi itu, sebuah kereta Perodua Viva dipandu seorang wanita berusia 49 tahun di laluan sama telah bergesel dengan motosikal mangsa. Ia mengakibatkan mangsa hilang kawalan sebelum terbabas dan tercampak ke kanan jalan,” katanya di sini hari ini.
Kata beliau, impak kemalangan itu menyebabkan mangsa maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala, manakala pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan.- KOSMO! ONLINE