SEREMBAN – Seorang pemandu lori tidak mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mencabul kehormatan seorang pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) pada 6 November lalu.
Tertuduh Muhammad Amsyar Mohd. Ali, 34, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Saqinah Rosli.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan kekerasan jenayah dengan maksud untuk mencabul kehormatan mangsa perempuan berusia 21 tahun.
Kesalahan itu dilakukan lebih kurang pukul 4 pagi di sebuah rumah di Taman Seremban 3 di sini pada 6 November lalu.
Dalam pada itu, tertuduh juga didakwa atas pertuduhan mencuri telefon bimbit jenis Samsung A71 milik mangsa pada tarikh dan di lokasi sama, namun Muhammad Amsyar tidak mengaku bersalah.
Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM4,500 bagi kedua-dua pertuduhan dengan syarat tambahan tertuduh tidak dibenarkan menganggu mana-mana saksi pendakwaan sehingga kes selesai.-KOSMO! ONLINE