PUTRAJAYA – Pasangan selebriti popular, Wawa Zainal dan Aeril Zafrel percaya perceraian sahabat mereka Mawar Rashid dan Raf baru-baru ini bukan disebabkan kehadiran orang ketiga.
Yakin dengan perkara tersebut, Wawa atau nama sebenarnya, Nur Hawa Zainal Abidin, 32, berharap pasangan selebriti itu akan kembali bersatu suatu masa nanti.
“Mungkin perpisahan adalah keputusan yang terbaik dan kami harapkan mungkin mereka akan kembali bersama.
“Mereka berpisah pun bukanlah disebabkan orang ketiga, tetapi ada masalah-masalah lain yang hanya mereka sahaja yang tahu. Jadi, kita sama-sama doakan manalah tahu ada sinar buat mereka,” ujar Wawa sambil dipersetujui oleh Aeril.
Meskipun mengetahui berita perceraian Mawar dan Raf lebih awal sebelum pendedahan umum dibuat, Wawa dan Aeril sebenarnya masih terkejut dan tidak dapat menyembunyikan perasaan sedih mengenang situasi pasangan terbabit.
“Kami tidak jangka pun kerana mereka pasangan yang sweet and loving, mereka pun orang yang baik. Kami terkejut sangat apabila Raf berjumpa kami dan beritahu tentang perkara tersebut (perpisahan) sebelum berita itu viral.
“Kami sangat sedih dan kami pula seperti hendak menangis ketika itu,” kongsi Wawa.
Ditemui pada majlis pra pelancaran filem terbaharu terbitan mereka berjudul Klepet yang di Putrajaya semalam, Wawa menjelaskan masih belum berkesempatan bertemu Mawar atau Raf selepas mereka berpisah.
“Kami belum sempat jumpa mereka lagi. Berilah mereka ruang untuk bertenang. Kami pun tidak mahu ganggu mereka,” jelas Wawa.
Mawar dan Raf mendirikan rumah tangga pada November 2017 dan mengumumkan perpisahan mereka menerusi Instagram pada 23 November lalu.
Hasil perkahwinan, pasangan itu dikurniakan tiga orang cahaya mata, iaitu Raden Muhammad, 4, Raden Seri Rosabella Cinta, 2, dan Raden Seri Riyanna Sayang, 10 bulan. – KOSMO! ONLINE