KUALA LUMPUR – Seorang daripada tiga anggota polis yang disyaki menculik dan memeras ugut seorang warga Bangladesh sudah ditahan kerja.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, tindakan terhadap dua lagi anggota akan dipertimbangkan sekiranya ada keperluan bergantung kepada hasil siasatan.
“Ada yang kita sudah ambil tindakan tahan kerja dan kita tunggu tindakan susulan kerana kes itu di bawah siasatan Polis Selangor dan bagi Polis Kuala Lumpur sudah ambil tindakan tahan kerja.
“Siasatan sudah selesai tapi kita tunggu keputusan lanjut,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar perhimpunan bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini, hari ini.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan polis Selangor sudah merujuk siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) berkaitan kes tiga anggota polis didakwa terlibat menculik dan memeras ugut seorang warga Bangladesh.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, ketiga-tiga anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya itu dibebaskan dengan jaminan selepas reman tamat.
10 November lalu, dilaporkan seramai enam individu termasuk tiga penjawat awam ditahan berkaitan kes pemerasan dan kurungan salah melibatkan seorang warga asing.-KOSMO! ONLINE.