PETALING JAYA – “Selepas jadi bapa, rasa muda semula (ketawa).
Demikian respons rawak hero Malaya, Remy Ishak apabila disuakan pertanyaan bagaimana perasaan selepas empat bulan bergelar seorang bapa.
Remy atau nama sebenarnya, Mohammad Zalimei Ishak berkata, dengan kehadiran anak sulung, Tuah Alam, dia merasakan seperti berada di dunia yang berlainan.
“Rasa macam saya rasa ada dunia baharu. Rasa kembali hidup. Dan, rasa kembali menjadi Remy Ishak,” kata Remy, 41, kepada HibGlam baru-baru ini.
Ditemui pada majlis memperkenalkan pelakon utama filem live-action Keluang Man, suami kepada Roszaliza Yusof itu menambah, dunianya sememangnya tidak keruan sebelum bergelar seorang bapa termasuk berdepan dengan masalah kemurungan.
“Beberapa tahun sebelum kelahiran Tuah Alam, saya sendiri tak keruan. Tak pasti apa sebenarnya tujuan kehidupan.
“Bila lahirnya anak, saya rasa macam this is it (inilah dia). Kembali di trek yang sebenar.
“Saya telan realiti bahawa inilah kehidupan. Semua orang akan menjadi fasa yang sama. Bujang, berkahwin dan kemudian kalau ada rezeki, dapat anak.
“Orang kata kalau kahwin akan jadi macam ‘bapak-bapak’, tapi saya rasa macam jatuh cinta. Bila lelaki dah jatuh cinta bahaya sebab, dia boleh kuasai dunia (ketawa),” ujar Remy seraya menyelitkan seloroh dalam bicara.
Sedikit tentang filem Keluang Man arahan pengarah hebat, Anwari Ahsraf, Remy akan melakonkan watak antagonis bernama Shamsir.
Katanya, dia optimis dengan kemenjadian filem itu kerana karya tersebut jatuh di tangan orang yang tepat seperti Anwari yang merupakan pengarah siri fenomena, Projek: High Council.
“Saya percaya skrip dan cerita Keluang Man jatuh ke tangan orang yang betul. Saya suka dengan visi Anwari.
“Kenal Anwari juga dah lama sebelum dia aktif di bidang pengarahan (jadi penulis skrip) sampailah Projek: High Council menjadi fenomena satu Malaysia,” katanya lagi. – KOSMO! ONLINE