JASIN – Seramai 23,000 individu berusia 16 hingga 36 tahun di negara ini dikesan membawa kenderaan tanpa lesen, termasuk pelajar yang menunggang motosikal ke sekolah.
Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Rospiagos Taha berkata, susulan itu pelbagai program advokasi giat dilakukan oleh agensi bagi menurunkan angka berkenaan.
Ujarnya, pihaknya optimis pengurangan itu dapat dilakukan dalam tempoh enam bulan menerusi kempen kesedaran keselamatan jalan raya yang sistematik dan bersasar.
“Kita faham ada masalah tertentu punca berlaku masalah ini sebab itu pendekatan kita sekarang ini adalah lebih kepada advokasi untuk mendidik.
“Pihak kami yakin dengan advokasi yang tersusun rapi peratusan itu akan menurun dan 23,000 pengguna kenderaan motor termasuk pelajar sekolah ini sedar kesalahan dilakukan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Penutup Perkhemahan Kadet JPJ peringkat Zon Selatan 2024 di Pusat Kokurikulum Melaka, Kampung Lanchang, Merlimau di sini, malam tadi.
Ditanya adakah JPJ bercadang untuk meminda undang-undang sedia ada bagi mengenakan tindakan terhadap ibu bapa yang membenarkan anak-anak menggunakan kenderaan tanpa lesen, Rospiagos berkata, pihaknya memfokuskan kepada program advokasi.
“Berdasarkan rekod, advokasi ini sangat berkesan terutama di sekolah-sekolah yang telah kita buat projek bersama, namun usaha ini bergantung pada kerjasama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah dan masyarakat,” katanya.
Ujarnya, antara kempen advokasi dilakukan termasuklah melalui Perkhemahan Kadet JPJ yang sekali gus menjadikan para peserta sebagai ‘duta’ keselamatan jalan raya dan membantu menyampaikan mesej advokasi kepada pelajar lain.-KOSMO! ONLINE