NEW DELHI – Seorang wanita di Sultanpuri, New Delhi didakwa menggigit telinga suaminya sehingga sebahagiannya putus ketika mereka bertengkar, lapor portal berita Mint kelmarin.
Menurut polis, si suami memfailkan aduan terhadap isterinya itu selepas mendapat rawatan di sebuah hospital akibat kecederaan yang dialaminya.
Bercakap kepada polis, mangsa berusia 45 tahun berkata, pada 20 November lalu, pertengkaran berlaku antara dia dan isterinya.
Ia tercetus apabila isterinya meminta dia menjual rumah mereka dan memberinya sebahagian daripada wang hasil jualan supaya wanita itu boleh tinggal berasingan dengan anak-anak.
“Dalam keadaan marah, dia menggigit telinga kanan saya dengan kuat sehingga bahagian atas telinga saya terputus,” kata mangsa.
Susulan itu, anak mangsa membawanya ke Hospital Sanjay Gandhi di Mangolpuri untuk mendapatkan rawatan dan dia telah menjalani pembedahan di Hospital Golden Jaipur di Rohini.
Siasatan lanjut sedang dilakukan. – AGENSI