SEREMBAN – Dua orang lelaki diberkas polis di Pulau Carey, Selangor pada 27 November lalu selepas dipercayai terlibat dalam kes curi motosikal di Nilai di sini.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Abdul Malik Hasim berkata, suspek yang ditahan masing-masing berumur antara 17 dan 18 tahun.
Katanya, tangkapan ke atas suspek susulan kaunter aduan Balai Polis Nilai menerima aduan daripada seorang lelaki berumur 18 tahun pada pukul 1.26 petang Isnin lalu.
“Pengadu menyatakan pada pukul 10 pagi hari yang sama, semasa berada di rumah di sebuah pusat komersial di Nilai, dia menyedari motosikal miliknya tiada disyaki dicuri. Kerugian yang dialami dianggarkan berjumlah RM2,000,” katanya hari ini.
Abdul Malik berkata, bertindak atas maklumat, pihak polis berjaya menahan kedua-duanya beserta tiga buah rangka dan motosikal pelbagai model turut dirampas.
“Hasil siasatan mendapati suspek terlibat dalam beberapa kes curi motosikal di kawasan Nilai dan Selangor. Berikutan itu, kesemua suspek direman selama tiga hari mulai semalam hingga esok,” katanya. – KOSMO! ONLINE