MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berharap ‘perang’ yang tercetus antara Pesuruhjaya Sukan, Suhardi Alias dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) tidak berterusan sepanjang tempoh ‘gencatan senjata’.
Beliau menggesa semua pihak supaya bersikap lebih profesional dan memberikan sepenuh fokus bagi menyelesaikan isu utama melibatkan dua badan e-Sukan, iaitu Persatuan Tadbir Urus Sukan Elektronik Malaysia (MEGA) dan Persekutuan Sukan Elektronik Malaysia (MESF).
“Saya kira sekarang (keadaan) agak aman dan kita bagi ruang kepada kedua-dua pihak untuk bertenang. Untuk saya, apa paling penting adalah jawatan PJS itu kekal profesional dan neutral kerana ia jawatan penting untuk menguatkuasakan akta pembangunan sukan.
“Seperti yang saya nyatakan dalam parlimen, ekosistem sukan yang harmoni sangat penting. Saya percaya perkara ini boleh diselesaikan dengan cukup profesional dan tenang, tetapi beri masa untuk kita lihat isu-isu dibangkitkan kedua-dua pihak.
“Isu pokok sekarang adalah mengenai e-Sukan, namun disebabkan ada gangguan, isu pokok itu belum selesai. Itu (isu e-Sukan) keutamaan saya sekarang kerana atlet e-Sukan memang mahu kita selesaikannya,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara MSN dan UiTM di Shah Alam semalam.
Justeru, Hannah menaruh sepenuh kepercayaan kepada semua pihak supaya menjalankan tugas secara profesional bagi memastikan isu membabitkan dua badan e-Sukan tersebut dapat diselesaikan dalam kadar segera.
“Saranan saya nak pastikan semua orang profesional jalankan tugas mereka kerana seperti saya nyatakan, ekosistem sukan ini akan jejaskan atlet kita dan atlet kita sentiasa menjadi kenyataan.
“Saya juga percaya perkara ini juga menjadi keutamaan PJS dan MOM. Saya sendiri mempunyai kerjasama erat dengan MOM melalui RTG (Road to Gold). Saya dalam perbincangan bersama Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria mengenai masalah sekarang untuk bantu e-Sukan,” ujarnya.
Sebelum ini, Suhardi mencipta sensasi apabila tular klip audio berdurasi 1 minit 20 saat memetik beliau mengugut untuk membatalkan pendaftaran MOM selain menyamakan badan induk itu dengan Israel.