KLUANG – Keadaan tebing sungai yang telah runtuh sedikit demi sedikit terutama ketika hujan merisaukan penduduk sekitar Kampung Bentong di sini.
Keadaan yang berlaku di sebahagian tebing Sungai Melantai di sini lebih meresahkan kerana kejadian banjir pada setiap hujung tahun merupakan ‘acara wajib’ yang terpaksa dilalui oleh penduduk.
Penduduk kampung yang hanya mahu dikenali sebagai Kamal berkata, jika sebahagian runtuhan tebing dan ban yang mengelongsor ke dalam Sungai Melantai ini tidak diambil tindakan segera pasti akan berlaku terputus laluan masuk ke Kampung Bentong.
Katanya, hasil dari tinjauan di beberapa kawasan runtuhan tebing sungai mendapati sudah berada betul-betul di pinggir jalan dan dibimbangi jika berlaku satu atau kali limpahan air pasti akan menyebabkan jalan penghubung ke kampung itu terputus.
“Mungkin ramai tertanya-tanya mengapa Sungai Melantai di Kampung Bentong ini cepat melimpah airnya walaupun hujan hanya dua jam sedangkan sungai-sungai lain di bandar Kluang tidak mengalami fenomena sama.
“Semuanya berpunca apabila lebih 10 taman perumahan di bahagian atas Sungai Melantai mengalirkan airnya ke dalam sungai ini menyebabkannya cepat penuh serta melimpah.
“Keadaan diburukkan lagi sekiranya air di Sungai Beladong dan Sungai Mengkibol yang berada di bahagian bawah penuh seterusnya menghalang aliran air dari Sungai Melantai ini,” katanya ketika ditemui semalam.
Menurut Kamal lagi, kebiasaanya banjir akan berlaku sekitar bulan Disember atau Januari setiap tahun di Kampung Bentong ini, namun hingga kini belum ada tindakan segera untuk mengatasi masalah runtuhan tebing dan ban yang pecah itu.
“Tolonglah kami, jangan jadi lebih buruk baru baiki,” ujarnya.