PUTRAJAYA- Kerajaan meluluskan peruntukan khas bagi membawa pulang kesemua rakyat Malaysia yang terkandas di bandar Laukkaing, Myanmar.
Kementerian Luar Negeri berkata, peruntukan khas itu diluluskan Kementerian Kewangan pada 24 November lalu sebagai mengambil kira situasi genting di utara negara berkenaan susulan perang saudara yang bermula pada 27 Oktober lepas.
Katanya, pada masa ini, pihaknya sedang giat membuat persiapan sewajarnya bagi proses evakuasi kesemua warganegara Malaysia yang terkandas.
“Pelaksanaan proses evakuasi ini walaubagaimanapun adalah tertakluk sepenuhnya kepada kelulusan pihak-pihak berwajib di negara Myanmar dan China.
“Sebarang perkembangan mengenai proses evakuasi ini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.
Sebelum ini, Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir memaklumkan, usaha pemindahan keluar warga Malaysia yang terkandas akibat ketegangan konflik politik di Myanmar bertambah kepada 127 orang dan bukannya cuma 26 orang.
Persiapan rapi daripada segi logistik dilakukan. Wisma Putra selain menunggu kebenaran rasmi dan penyelarasan daripada kerajaan Myanmar.
Selain itu, dua warga asing yang masing-masing seorang dari Indonesia dan Hong Kong, China turut sama menyertai kumpulan rakyat Malaysia diselamatkan tersebut.
Zambry walau bagaimanapun memberikan jaminan bahawa kesemuanya berada dalam keadaan selamat dan ditempatkan di lokasi yang dirahsiakan sebelum pulang ke Malaysia. – KOSMO! ONLINE