JOHOR BAHRU – Dua anak lelaki warga emas yang dibunuh pekerjanya tidak dapat menahan sebak apabila melihat rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) yang ditayangkan pada prosiding pertuduhan kes bunuh sepasang suami isteri warga Indonesia di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.
Kedua-dua anak lelaki mangsa menggelengkan kepala sambil menahan air mata apabila melihat ibu mereka, Lau Yen Na, 73, dibunuh dengan kejam oleh tertuduh, Bartolomeus Fransceda dan isterinya, Ekalia yang masing-masing berusia 23 tahun ketika berehat di rumahnya, tiga tahun lalu.
Kedua-dua tertuduh bagaimanapun membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan ke atas mereka dibacakan di hadapan Hakim Datuk Abu Bakar Katar
Abu Bakar Katar bagaimanapun menetapkan 11 Disember ini bagi keputusan hukuman ke atas Bartolomeus Fransceda dan isterinya, Ekalia yang masing-masing berusia 23 tahun selepas kedua-dua mereka menukar pengakuan mereka kepada bersalah, hari ini.
Kedua-dua tertuduh dituduh secara bersama-sama membunuh Lau Yen Na, 73, di sebuah rumah di Palm Resort, Senai, Kulai, kira-kira pukul 2 petang, 17 Mac 2019.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman gantung sampai mati atau penjara minimum 30 tahun atau maksimum 40 tahun dan 12 sebatan.
Mengikut fakta kes, berdasarkan siasatan dan analisis rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian, pasangan itu telah membunuh si mati dengan menggunakan cangkul kecil mempunyai dua mata tajam.
Tertuduh pertama dan kedua telah memukul si mati dengan cangkul kecil itu di bahagian kepala ketika si mati sedang berehat, sebelum mereka mengambil Toyota Alphard serta telefon bimbit mangsa untuk ke Kuala Lumpur bagi bertemu rakan bagi mencari kerja baharu.
Bagaimanapun mereka berjaya ditahan di sebuah restoran di Damansara, Selangor sebelum hasil analisis patologi mendedahkan punca kematian mangsa adalah kerana luka tetakan berganda di kepala.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Syafiq Mohd. Ghazali manakala dua tertuduh diwakili peguam, Ooi Pen Lyn dan S. Selvi.
Pen Lyn ketika dalam hujahannya memohon mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 30 tahun kepada kedua-dua tertuduh kerana mereka sebenarnya adalah mangsa kepada pemerdagangan manusia kerana ditipu ejen pekerja tidak berdaftar
“Kedua-duanya dijanjikan bekerja di Sarawak dan Kuala Lumpur, namun apabila tiada pekerjaan yang dijanjikan itu mereka mahu pulang ke Indonesia.
“Namun agensi tidak membenarkan mereka pulang dan mengugut supaya mereka membayar wang pampasan jika berdegil, sebelum dihantar bekerja sebagai tukang kebun dan amah di kediaman seorang warga emas.
“Kedua-dua tertuduh menyatakan mereka bukan sahaja diseksa secara mental dan fizikal oleh warga emas berkenaan malah diperhambakan mereka dengan tidak diberi makan selain diarahkan tinggal di pondok luar kediaman berkenaan.
“Oleh itu, saya memohon mahkamah untuk mengenakan hukuman penjara minimum 30 tahun bagi membolehkan mereka pulang ke Indonesia bersama keluarga apatah lagi mereka sudah bertaubat, insaf dan kesal atas perbuatan mereka,” katanya.
Bagaimanapun, Muhammad Syafiq berkata, alasan diseksa dan diperhambakan bukanlah lesen untuk kedua-dua tertuduh untuk meletakkan undang-undang di tangan sendiri apatah lagi membunuh dengan kejam.
“Oleh itu saya memohon mahkamah memberikan hukuman pengajaran sebagai iktibar kepada masyarakat supaya tidak meletakkan undang-undang di tangan sendiri.
“Walaupun hukuman Seksyen 302 Kanun Keseksaan sudah dipinda dengan meletakkan hukuman penjara, namun adalah menjadi hak mahkamah untuk menjatuhkan hukuman gantung sampai mati berdasarkan kes dan situasi,” katanya. – KOSMO! ONLINE