KOTA BHARU – Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) sentiasa komited melaksanakan segala langkah pencegahan dan pengawalan bagi memastikan kes jangkitan Covid-19 tidak menjejaskan perkhidmatan hospital itu khususnya rawatan kesihatan kepada rakyat.
Pengarah Kampus dan Pengarah Hospital USM, Profesor Datuk Dr. Ahmad Sukari Halim menegaskan bahawa hanya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sahaja yang boleh mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi mengenai kes positif jangkitan Covid-19.
Katanya, kenyataan tersebut dikeluarkan selepas terdapat dakwaan menerusi media sosial dan portal dalam talian mengenai kes positif jangkitan Covid-19 melibatkan warga Kampus Kesihatan dan Hospital USM baru-baru ini.
“Keselamatan dan kesejahteraan warga kerja serta pelanggan kami merupakan antara keutamaan.
“Justeru, pengurusan Kampus Kesihatan dan Hospital USM sentiasa komited melaksanakan segala langkah pencegahan dan pengawalan bagi memastikan kes jangkitan Covid-19 tidak menjejaskan perkhidmatan kami khususnya rawatan kesihatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Terdahulu, terdapat satu status di laman sosial Facebook yang mendakwa terdapat pasangan suami isteri yang bekerja di Hospital USM di sini didapati positif Covid-19.
Mengulas lanjut, menurut Ahmad Sukari, pengurusan USM juga mengadakan kerjasama rapat dengan pelbagai agensi berkaitan termasuk Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK).
Katanya, Hospital USM mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah dikuatkuasakan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).-K!ONLINE