JOHOR BAHRU – Tindakan mengeluarkan kenyataan dengan menggelar Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ‘dajal kecil’ disifatkan sebagai satu bentuk provokasi melampau yang berniat melaga-lagakan rakyat Malaysia.
Naib Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor, Mohd. Taufiq Ismail berkata, kenyataan Ahli Jawatankuasa Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Badrul Hisham Shaharin itu disifatkan satu fitnah berat yang berniat mencemar imej dan reputasi Perdana Menteri.
Beliau yang juga Ketua AMK Johor menegaskan, kenyataan Badrul Hisham atau lebih dikenali sebagai Che’gu Bard yang menyentuh isu kaum, agama dan institusi diraja (3R) itu boleh mencetuskan salah faham, perbalahan dan ketegangan agama dalam kalangan umat Islam.
“Sebagai rakyat Malaysia yang cintakan keharmonian dan keamanan, saya amat marah dan beranggapan agama pada hari ini ditunggang secara berleluasa dan sewenang-wenangnya oleh puak-puak yang tidak bertangggungjawab demi menyebarkan kebencian.
“Selepas melihat video itu saya mendapati terdapat unsur seperti kenyataan berbaur hasutan yang bertujuan untuk mencetuskan provokasi supaya berlaku perbalahan dan ketegangan di kalangan penganut agama di Malaysia,” katanya.
Mohd. Taufik berkata demikian kepada pemberita selepas membuat laporan terhadap Che’gu Bard supaya tindakan terhadapnya dikenakan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan, Larkin di sini malam tadi.
Ahad lalu, Che’gu Bard menggelar Anwar sebagai ‘dajal kecil’ ekoran kegagalan PN memperoleh peruntukan kawasan parlimen menerusi satu ceramah semasa kempen PRK Kemaman di Markas UDM Dadong, Kampung Tebak Batu 16, Kemaman.
Mengulas lanjut, Mohd. Taufik mempersoalkan golongan agamawan yang masih tidak bersuara menegur Che’gu Bard yang dilihat boleh terus memburukkan keadaan kerana isu tersebut masih lagi hangat.
Justeru, katanya, AMK Johor membuat laporan polis terhadap Che’gu Bard malam ini supaya tindakan boleh dikenakan terhadapnya mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Tambahnya, individu itu juga boleh disiasat mengikut Seksyen 499 dan 500 Kanun Keseksaan (KK), Seksyen 504 KK), Seksyen 505(c) KK, Seksyen 298(a) KK serta Seksyen 298 KK (Akta 574).
“Saya juga mohon pihak polis menggunakan kuasa yang diperuntukkan di bawah Seksyen 6(3)(b) dan (c) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 bagi memintas apa-apa mesej yang dihantar atau diterima oleh mana-mana komunikasi terhadap individu atau pemilik akaun media sosial terbabit sekiranya perlu,” katanya. – KOSMO! ONLINE