BRUSSELS, Belgium – Sekatan Israel terhadap bekalan bahan api ke Gaza menghalang usaha penghantaran bantuan dan akses kemanusiaan yang diperlukan di bawah resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), demikian menurut Pesuruhjaya Kesatuan Eropah (EU), Janez Lenarcic seperti dilaporkan laman berita TRT World.
“Kami menyeru peningkatan bekalan bahan api (dihantar) ke Gaza. Akses kemanusiaan harus dibuat berdasarkan keperluan dan bukan pada sekatan-sekatan tertentu,” kata Lenarcic kepada beberapa wartawan di Brussels.
Lenarcic yang bertanggungjawab dalam pengurusan krisis bercakap ketika negara-negara EU dan organisasi bantuan berusaha memberikan bantuan kepada 2.3 juta penduduk Gaza di bawah gencatan senjata kemanusiaan yang dipersetujui oleh Israel dan Hamas.
Menurut beliau, penghantaran bantuan ke Gaza ketika ini menghadapi dua masalah.
“Salah satunya adalah trak yang memasuki Gaza perlu melalui Lintasan Rafah di Mesir, yang merupakan satu-satunya pintu masuk yang tidak dikawal oleh Israel. Namun, mereka perlu menjalani pemeriksaan pada jarak 90 minit pemanduan,” ujarnya.
Tambahnya, Rejim Zionis juga hanya membenarkan jumlah bahan api yang terhad untuk masuk ke Semenanjung Gaza dan ia masih tidak mencukupi untuk keperluan wilayah itu.
Menurut Lenarcic, Brussels menyeru peningkatan kapasiti pemeriksaan trak dan lebih banyak bahan api dibenarkan masuk ke Gaza.
Bahan api itu katanya, adalah penting untuk operasi kemanusiaan, hospital, stesen air, loji penyahgaraman, pam air dan kedai roti. – AGENSI