PETALING JAYA – “Sedih dan terharu baca tulisan wartawan Kosmo! Mungkin boleh jadi kenyataan, mungkin tidak ye?”
Itu respons penghibur nombor satu negara Datuk Seri Siti Nurhaliza mengenai laporan yang menyatakan potensi besarnya untuk memintas semula rekod konsert Coldplay yang berlangsung baru-baru ini.
Menurut Siti dalam ciapannya, persembahan mega yang diidamnya diharap dapat direalisasikan sebelum mengucapkan selamat tinggal kepada arena seni.
“Kalau nak buat (konsert) di Stadium Nasional (Bukit Jalil) sekali lagi, mungkin sebelum saya bersara ye.
“Biar jadi kenangan terindah buat semua,” katanya menerusi perkongsian dalam aplikasi X.
Dalam konsert yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 22 November lalu, band asal Britain itu berjaya menarik kehadiran 75,000 penonton tempatan dan luar negara.
Sebelum ini, Siti mempertahankan kedudukan di tempat pertama selama 19 tahun bagi penonton paling ramai di lokasi sama dengan angka mencecah 70,000 orang.
Hanya perbezaan tipis sahaja yang meletakkan Siti Nurhaliza Live In Concert pada 2004 berada di belakang Music Of The Spheres World Tour, sekali gus tidak mustahil untuknya kembali berada di posisi teratas.
Bukan hanya gelanggang terbesar di Malaysia, stadium yang mampu memuatkan kapasiti 87,411 penonton itu juga merupakan pemis acara terbesar di Asia Tenggara.
Menerusi tinjauan, rata-rata peminat teruja dengan semangat ditunjukkan penghibur kesayangan negara itu selain yakin Siti mampu menarik lebih ramai penonton dalam konsert akan datang.
Begitupun, segelintir lagi pengikut tegar berharap selebriti terbabit tidak bersara awal kerana masih ramai mendambakan kehadiran di persada seni. – KOSMO! ONLINE