SUNGAI PETANI – Remaja lelaki yang ditahan reman sehari kerana didakwa menyerang pemandu e-hailing pada kelmarin dibebaskan dengan jaminan polis, hari ini.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, remaja berusia 13 tahun itu dibebaskan selepas tempoh remannya berakhir hari ini.
“Kita membebaskannya hari ini sementara menunggu keputusan lanjut daripada pihak Timbalan Pendakwa Raya selepas menyiapkan kertas siasatan,” katanya.
Semalam akhbar ini melaporkan seorang remaja lelaki ditahan polis dan direman sehari kerana didakwa cuba menikam seorang pemandu e-hailing dalam kejadian di Taman Keladi, di sini.
Remaja itu bertindak demikian kerana mendakwa pemandu e-hailing berusia 65 tahun itu memakinya ketika menggunakan perkhidmatan itu pada pukul 6.20 petang, kelmarin. – KOSMO! ONLINE