NEW DELHI – Seramai 41 pekerja yang terperangkap di dalam terowong runtuh di Himalaya India berjaya dikeluarkan selepas operasi menyelamat memakan masa selama 17 hari, lapor laman berita TRT World.
Dengan senyuman terukir, pekerja-pekerja lelaki yang diselamatkan itu disambut sebagai wira selepas diangkut melalui paip keluli sepanjang 57 meter pada pengusung yang dipasang khas dengan roda.
Orang ramai di luar terowong bersorak apabila tersebarnya berita bahawa pekerja-pekerja itu telah selamat keluar dari terowong yang sedang dalam pembinaan di negeri Uttarakhand, selepas sebahagiannya runtuh pada 12 November lalu.
Saudara-mara yang menanti di luar meraikan mereka selepas harapan berulang kali gagal sebelum ini akibat serpihan jatuh dan kerosakan beberapa mesin penggerudian dalam operasi menyelamat yang sukar disebabkan bentuk muka bumi Himalaya.
“Kami bersyukur dan berterima kasih kepada para penyelamat yang bekerja keras untuk menyelamatkan mereka,” kata abang salah seorang mangsa, Naiyer Ahmad.
Sementara itu, isteri kepada mangsa yang sama, Musarrat Jahan berkata, mereka sangat gembira menerima khabar itu selepas beberapa minggu menanti.
“Bukan sahaja suami saya mendapat kehidupan baharu, malah kami juga mendapat kehidupan baharu. Kami tidak akan melupakannya,” kata isteri kepada Sabah Ahmad.
Sejak awal usaha menyelamat dilakukan, pihak yang berada di luar terowong berkomunikasi menerusi walkie-talkie dengan para pekerja tersebut, yang dibekalkan dengan oksigen, makanan dan air melalui paip sempit berasingan.
Kesemua pekerja tersebut dibawa ke hospital untuk menjalani rawatan, namun tiada sesiapa mengalami kecederaan. – AGENSI