PARIT – Polis menahan seorang lelaki dan seorang wanita bagi membantu siasatan kes empat beradik yang ditinggalkan di pondok pengawal Kompleks Pentadbiran Daerah Perak Tengah, Kampung Gajah pada Khamis lalu.
Kedua-dua individu yang dipercayai ibu dan bapa kanak-kanak tersebut ditahan dalam tangkapan berasingan semalam dan hari ini.
Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Hafezul Helmi Hamzah berkata, tangkapan itu dibuat susulan laporan polis oleh kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kampung Gajah mengenai empat kanak-kanak ditinggalkan di kompleks berkenaan tanpa jagaan dan pengawasan.
Katanya, berdasarkan siasatan, kesemua kanak-kanak itu dibawa dan ditinggalkan di lokasi tersebut pada hari kejadian oleh seorang lelaki yang menunggang motosikal Modenas Kriss berwarna biru.
“Ekoran itu, satu tangkapan dibuat ke atas lelaki terbabit semalam, selain merampas motosikal yang digunakan serta pakaian yang dipakainya semasa hari kejadian. Tangkapan juga dibuat hari ini terhadap seorang perempuan di mana telefon bimbitnya juga dirampas untuk tujuan siasatan,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, siasatan lanjut sedang dijalankan di bawah Seksyen 33(a) Akta Kanak-kanak 2001 bagi mengenal pasti motif suspek meninggalkan kanak-kanak berkenaan. – KOSMO! ONLINE